Selaput mata terbahagi kepada 3, iaitu pinguecula, pterygium dan juga katarak.
Pinguecula dan pterygium adalah selaput yang tumbuh di bahagian putih mata iaitu konjunktiva. Pinguecula selalunya berwarna kuning dan tidak akan tumbuh ke bahagian kornea, manakala pterygium boleh tumbuh ke bahagian kornea dan menyebabkan pandangan terganggu. Kedua-dua selaput ini berlaku akibat pendedahan yang berlebihan kepada UV dan persekitaran yang berhabuk. Ia boleh menyebabkan mata kering dan tidak selesa terutamanya kepada pemakai kanta lekap. Risiko pinguecula dan ptergygium dapat dikurangkan dengan pemakaian sunglass dan simptom mata kering dapat dikurangkan dengan pemakaian ubat titis mata untuk mata kering.
Pterygium boleh dibuang dengan pembedahan sekiranya ia mengganggu pandangan. Katarak pula adalah selaput yang tumbuh pada kanta mata yang jernih yang boleh menyebabkan pandangan menjadi kabur. Katarak selalunya berlaku akibat penuaan mata, dan ini adalah normal. Namun terdapat juga bayi yang lahir dengan katarak. Ia juga boleh terjadi akibat penyakit seperti kencing manis, pengambilan sesetengah ubat dalam jangka masa yang lama, dan juga trauma atau kecederaan. Katarak hanya boleh dibuang dengan pembedahan, dan tiada ubat titis ataupun supplemen/pemakanan yang boleh mengubati katarak. Pada peringkat awal, selalunya katarak tidak menjejaskan pandangan, namun apabila sudah mengganggu pandangan dan menyebabkan kesukaran dalam melakukan aktiviti seharian, pembedahan untuk membuang katarak tersebut amatlah digalakkan. Sekiranya katarak dibiarkan menebal, ia boleh menyebabkan komplikasi lain seperti glaukoma yang boleh menyebabkan kebutaan. Simptom-simptom awal katarak adalah pandangan yang kabur, warna kelihatan pudar dan silau.